
Menurut suatu kajian psikologi, stress amat penting sebagai penggalak yang memungkinkan segala tugasan. Berdasarkan lekuk Yerkes-Dodson graf peningkatan stress melawan kemampuan prestasi, keupayaan dan kemampuan melakukan sesuatu pekerjaan bergantung secara lekuk U terbalik. Keupayaan kita untuk menangani stress boleh diterima atau tidak oleh badan kita pada sesuatu titik atau tahap stress. Biasanya seseorang itu mengetahui akan keupayaan atau kemampuan optimum yang ada pada dirinya. Sebenarnya, keupayaan ini amat penting untuk seseorang mencapai sesuatu matlamat, misalnya tuntutan untuk berdaya saing dan menghadapi situasi kecemasan. Sebagai contoh, apabila seseorang mula membuka perniagaannya sendiri, maka kejayaan dan kegagalan perniagaan yang akan dilalui bergantung pada usaha yang dicurahkan, selain takdir dan nasib. Sekiranya dia berusaha terlalu kuat, misalnya bekerja lebih masa dan kurang tidur, gejala-gejala seperti mudah penat dan cepat letih akan kelihatan. Dia mudah berasa pening, loya, sakit-sakit otot serta kurang daya tumpuan. Dengan erti kata lain, penimbunan tekanan melebihi kadar yang boleh ditampung oleh minda dan tubuh akan menggugat keharmonian diri secara keseluruhan.
Maka, stress pada tahap tertentu menjadi “kawan”. Tetapi sekiranya berlebihan dan melampaui kemampuan seseorang melaksanakan sesuatu tugas, stress boleh bertukar menjadi “lawan”. Di sini timbullah persoalan, banyak manakah stress akan menjadi kawan, atau sebaliknya pula lawan? Stress yang dialami oleh seseorang itu biasanya bersifat individualistik dan idiosinkratik, dan banyak bergantung pada masa, keadaan dan daya ketahanan diri seseorang individu.
Kebanyakan kita menghadapi stress dengan baik. Dengan erti kata lain, dalam keadaan tertentu, kita boleh “mengawal” situasi di dalam dan disekeliling kita. Pada ketika inilah, kita melalui suatu tahap “keseimbangan” yang merangkumi pemikiran, perasaan dan kerohanian yang bergabung secara harmonis dan seimbang. Stress dianggap oleh minda sebagai unsur yang baik terhadap diri kita, lalu menyisihkan ke tepi sebarang ketegangan jiwa. Misalnya ketika kita hendak mengambil peperiksaan, tuntutan terhadap diri kita untuk lulus peperiksaan dan sekali gus memegang segulung ijazah akan memberikan satu bentuk tekanan. Tekanan tersebut menyebabkan utusan kimia otak atau neurotransmitter dirembeskan, lalu merangsang pembebasan hormon dan bahan kimia tertentu ke dalam tubuh. Tekanan tersebut juga akan menyebabkan kita semakin peka terhadap alam sekeliling, lantas menyebabkan pergerakan otot kita menjadi cepat. Ekoran itu juga kita menjadi lebih cekap serta sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang kita sendiri tidak pasti. Sekiranya gabungan dan kerjasama yang terjadi antara unsure yang membentuk “keseimbangan” tersebut terlerai , misalnya kita tidak bersedia untuk mengambil peperiksaan disebabkan oleh kurangnya persiapan, kita akan mula meragui tahap kemampuan kita, lalu menjerumuskan kita kepada suatu keadaan ketegangan fikiran serta ketegangan otot badan. Kita tidak seterusnya tidak merasai relaks dan mengalami tekanan yang berlebihan.
Akibat melaksanakan sesuatu yang diluar kemampuan, maka akan timbullah gejala-gejala stress. Jika seseorang itu sanggup melakukan segala apa yang terdaya oleh dirinya mengikut persiapan yang ada, atau bersedia untuk menerima sesuatu keputusan, maka bebanan atau tekanan yang dialami akan dirasai berkurangan. Misalnya anda dapat mengimbangi antara persediaan untuk menduduki peperiksaan dan pengharapan untuk lulus dengan cemerlang. Sekiranya anda gagal mengimbanginya atau keluarga anda terus menuntut kecemerlangan dan bukannya kelulusan semata-mata dalam peperiksaan, maka tentu sekali tekanan akan dirasai semula. Kita akan berasa bahawa kelulusan dalam peperiksaan mencabar maruah, dan kegagalan pula bererti bencana. Apabila kita tidak sanggup gagal walaupun sekali, sedangkan kita tahu persediaan untuk berjuang dalam peperiksaan hanya bersifat “ala kadar”, maka gejala-gejala stress seperti sakit kepala, tegang urat saraf dan sukar untuk tidur akan menjadi ketara. Gejala penyakit-penyakit lain yang berkaitan, seperti sakit perut dan dada, atau penyakit kecelaruan psikiatrik seperti kemurungan atau histeria juga boleh berlaku. Tidak menghairankan, jika kita sering terserempak dengan situasi seseorang pelajar perempuan itu tiba-tiba menjerit meracau dan akhirnya pengsan ketika sedang membaca buku atau sebagainya. Jika dianalisis lebih lanjut, didapati bahawa tekanan perasaan dan konflik jiwa ini berpunca bukan sahaja berpunca daripada konflik untuk berjaya dalam pelajaran, tetapi dalam masa yang sama terasa diri terpinggir, kerana asyik sibuk bermain cinta ala Romeo dan Juliet.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan