Bilakah kita dikatakan mengalami gejala stress? Gejala stress kadangkala dilihat sebagai “musuh” dan “unsure yang bersifat negatif”. Apatah lagi, sekiranya stress ini “mencuri” sedikit kesempatan yang sepatutnya diperuntukkan bagi memupuk atau memperbaiki perhubungan dan kebahagiaan keluarga. Apakah ini bencana atau rahmat yang menimpa? Samada hakikat ini harus diterima secara manis atau tidak, inilah realiti kehidupan yang terpaksa dihadapi. Stress, sekiranya terbiar tanpa diurus, akan menjadi sumber kepada ibu segala penyakit yang akan membawa seribu kemudaratan dan kesengsaraan. Gejala stress boleh menyerang secara diam-diam.
Kita sedang menyiapkan sesuatu kerja pejabat yang perlu diusahakan dalam tempoh singkat dan sangat kritikal. Tetapi secara tiba-tiba kita diberitahu bahawa ibu tiri yang kurang kita senangi sejak kecil meninggal dunia secara mengejut. Apabila kita berhadapan dengan situasi seperti ini, pasti kita berada dalam dilemma, kita sedar kita kini mempunyai tugas besar yang perlu diselesaikan di pejabat, tetapi dalam masa yang sama, kita juga terpaksa menerima kenyataan bahawa kita harus balik ke kampung untuk menziarahi pengebumian ibu tiri, walaupun hakikatnya kita kurang rapat dengannya sama ada dari segi emosi atau peribadi. Dalam situasi seumpama ini, kita tersepit antara memilih tuntutan daripada majikan, atau tuntutan kekeluargaan dengan desakan norma kemasyarakatan. Sekiranya kita balik ke kampung, kita telah menunaikan tanggungjawab sebagai ahli keluarga yang baik. Sekiranya kita meneruskan kerja yang penting itu, kita telah melunaskan kecemerlangan tugas terhadap organisasi yang kita anggotai.
Berdasarkan situasi ini, stress bermula dengan keadaan “eustress”, yang bermaksud kita belum merasakan apa-apa kesa yang negatif secara emosi atau pemikiran. Pada peringkat ini, kita masih melakukan kerja dengan penuh rasa gembira. Apabila kerja semakin banyak yang harus diselenggarakan, atau kerja harus disiapkan lebih awal, atau kita berhadapan dengan tuntutan lain yang sama pentingnya seperti kes tadi, maka perasaan bimbang pula mula tercetus. Pada masa inilah, gejala stress akan menjelma. Dari segi emosi pula, mulai timbul perasaan tidak enak, seperti rasa bimbang, menggelabah, sugul dan ketegangan pada otot-otot anggota badan.
Tugas atau tanggungjawab untuk menyiapkan kerja seperti yang diarahkan atau diamanahkan kepada kita amat penting agar organisasi kita mendapat sesuatu urusan, seperti kontrak perniagaan . Maka akibat kecelaruan fikiran ini, timbul perasaan marah serta mudah melepaskan geram tanpa bertempat seperti “ Mengapalah ibu tiriku meninggal dunia pada saat aku terlalu sibuk dan memerlukan masa yang sepenting ini untuk membereskan kerja pejabat?” Kita yang dahulunya bersikap bertimbangrasa dan penyabar tiba-tiba melenting menjadi pemarah. Walaupun tidak berlaku pada semua keadaan, ada kalanya apabila terlalu marah, perasaan dan pertimbangan kita menjadi di luar kawalan. Keadaan ini jika tidak ditangani dengan bijak, boleh memungkinkan suatu krisis dan tekanan jiwa. Oleh itu, setiap orang harus bersabar dan membuat pertimbangan yane sewajarnya ketika menangani sesuatu masalah. Jangan membuat tindakan melulu dan sentiasa beringat bahawa setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Bertafakur sejenak dan fikir dengan waras sebelum bertindak.
Perasaan cemas dan kebimbangan merupakan amaran awal bahawa seseorang itu sedang berada dalam keadaan stress. Oleh itu, kita harus mengenali perubahan-perubahan ini agar kita lebih mudah memahami perasaan diri sendiri. Kita harus mengetahui, bahawa perasaan bimbang dan cemas ini adalah normal bagi seseorang yang menghadapi tekanan. Walau bagaimanapun, jika perasaan tersebut berlaku amat kerap, berterusan sehingga mengganggu kerja-kerja harian dan berkait dengan perasaan sugul serta mengasingkan diri daripada dunia, awas, kita mungkin sedang mengalami stress sebagai penyakit.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan